TEH HITAM VS TEH HIJAU
Assalamualaikum wrh. wbt.
Alhamdulillah. Artikel pertama dari pihak IMAM Volgograd
untuk sesi kali ini. Belum terlambat lagi untuk mengucapkan selamat datang
kepada bulan disember, yakni bulan pertama untuk musim salji di Rusia dan juga
bulan terakhir untuk tahun 2014. Sudah mula untuk berfikir tentang azam 2015?
Atau masih berusaha untuk mencapai azam yang belum direalisasikan? Apa pun azam
anda, semoga anda menjadi lebih baik dari sebelumnya.
“Beruntunglah
orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya
hari ini dengan semalam dan celaka lah orang yang hari ini lebih teruk dari
semalam” –Saidina Ali-
Setelah beberapa lama tinggal di bumi Rusia ini, pasti
tidak pernah terlepas dari soalan “чёрный или зелёный”(black or green) ketika
hendak memesan air teh (чай ). Berbeza sangatkah khasiat kedua-dua teh ini
sehinggakan penuh rak di pasar raya hanya untuk menjual teh-teh yang pelbagai
perasa?
Siapa yang tidak kenal dengan teh?
Minuman teh merupakan minuman penyegar
yang paling popular dan paling banyak diminum di dunia setelah air
putih. Teh diperoleh dari pucuk daun muda tanaman teh (Camelia sinensis). Orang Cina mengatakan lebih baik hidup tiga hari
tanpa makanan daripada hidup satu hari tanpa teh.
Terdapat 5 jenis teh iaitu teh hitam, teh hijau, teh putih,teh herba dan
teh oolong. Selain dari perbezaan warna, terdapat banyak perbezaan antara teh
termasuk cara pemprosesan. Tetapi di sini kita akan memberikan lebih tekanan untuk
perbincangan tentang teh hijau dan teh hitam.
Teh Hijau
Teh hijau dapat diperoleh melalui dua kaedah. Menurut kaedah tradisional Jepun,
teh hijau diperoleh dengan mengukus daun teh.Sedangkan orang Cina mempersiapkan
teh hijau dengan cara digoreng dalam kuali tanpa minyak.
Untuk menghindari proses oksidasi, teh diproses dalam waktu tidak lebih
dari dua hari setelah dipetik. Sebab itu, daun teh tetap berwarna hijaunya sehingga
disebut sebagai teh hijau dan proses penapaian dapat dihindari.
Teh Hitam
Tidak seperti teh hijau, teh hitam diperoleh setelah daun teh mengalami
oksidasi sebelum dikeringkan.Setelah proses oksidasi selesai, daun teh kemudian
dipanaskan dan dibahagi berdasarkan kualitinya. Warna hitam dari daun muncul
akibat proses oksidasi.
Manfaat Kesihatan
Semua daun teh mengandungi ‘flavonoids’ yang diperoleh secara semula jadi
melalui proses kimia yang mengandungi antioksida. Antioksida mencegah radikal
bebas yang merosakkan yang mana mungkin menjadi punca penyakit kronik. Selalu minum air teh akan merendahkan
tekanan darah dan kolesterol ‘LDL’ (kolesterol jahat) untuk mengurangkan risiko
sakit jantung dan strok. Teh juga baik untuk kesihatan gigi dan tulang. Selain
itu, teh juga mampu menyokong sistem imun yang sihat dan mencegah penurunan sel
otak.
Sehingga kini, kajian menunjukkan teh hijau mengandungi banyak sebatian
‘epigallocatechin gallate’ (EGCg),iaitu antioksida yang 100 kali ganda lebih
kuat berbanding vitamin C dan E. Proses penapaian telah menukarkan EGCg kepada
sebatian lain yang menyebabkan teh hitam kurang memberi manfaat kepada
kesihatan berbanding teh hijau. Bagai manapun, kajian baru-baru ini menunjukkan
sebatian di dalam teh hitam – flavin dan rubigen- memberi banyak manfaat selain
dari warna dan rasa. Sebatian ini turut memberi manfaat kepada kesihatan
seperti teh hijau.
Teh hijau juga mengandungi jumlah kafein yang amat kecil, manakala teh
hitam pula mengandungi lebih banyak kafein dari teh hijau, namun lebih rendah
dari kopi. Namun, kandungan kafein adalah berbeza mengikut tumbuhan dan kaedah
pemprosesan. Teh hitam sangat baik untuk melindungi diri terhadap penyakit
jantung dan kanser. Pesakit tekanan darah rendah harus minum teh hitam yang
juga baik untuk masalah pencernaan. Wanita yang ingin menurunkan berat badan
juga dianjurkan minum teh ini asalkan anda meminumnya tanpa susu dan gula.
Teh hijau juga mengandung florida sehingga membantu mengurangi risiko gigi
berlubang. Teh hijau dipercayai mampu mengurangkan peningkatan kolesterol dan
risiko kanser. Teh hijau juga mengandung tannin yang bermanfaat meningkatkan ketahanan
tubuh. Sebuah kajian yang dilakukan di China tahun 2012 menemukan bahawa teh
hijau mampu memperbaiki kerosakan sel otak yang disebabkan pertambahan umur.
Kandungan antioksidannya juga boleh menurunkan risiko glaucoma dan pelbagai
masalah mata hingga kanser.
Disebabkan oleh proses oksidasi, teh hitam mengandung ‘polysaccharides’
yang dapat memperlambat penyerapan glukosa lebih efektif berbanding teh lain.
Walau bagaimanapun, menurut kajian di Berlin University 2006, sebaiknya teh
hitam tidak diminum bersama susu kerana ‘casein’ dalam susu akan menghilangkan
manfaat untuk jantung.
Baik teh hijau dan teh hitam, kedua-duanya kaya dengan vitamin terutamanya
vitamin C dan mineral. Selain itu, dengan meminum 2-3 gelas teh setiap hari,
tubuh akan mendapatkan maksimum pengambilan vitamin B1, B2, B6, asam folat, dan
sebagainya.
Peminum teh terbanyak di dunia, seperti di Jepun dan di China menikmati
manfaat kesihatan dari kebiasaan mereka meminum teh. Oleh sebab itu, sedikit
penduduk Jepun dan China diserang penyakit jantung dan kanser.
Kesan Samping
Mereka yang memiliki tekanan darah tinggi seharusnya menghindari teh hitam.
Teh hitam mengandungi kafein yang boleh memburukkan tekanan darah tinggi. Kafein
juga tidak baik bagi orang yang memiliki masalah penyerapan kalsium. Selain
itu, kafein juga dianggap sebagai zat adiktif yang menyebabkan ketagihan. Kafein
memiliki banyak kesan yang merugikan pada tubuh, terutama sistem saraf pusat.
Namun, tidak ada bukti yang jelas di antara para ahli medik tentang kafein.
Jane Higden, pengkaji dari ‘Linus Pauling Institute’, menyatakan walaupun
pelbagai kajian telah dilakukan untuk mengkaji hubungkait antara meminum teh
dan risiko penyakit jantung dan kanser, namun tiada kesimpulan tepat yang pengambilan teh yang
banyak mampu melindungi manusia dari kedua-dua penyakit ini.
Untuk menentukan yang manakah yang lebih bermanfaat, sekiranya anda ingin
minum minuman kafein yang panas pada waktu pagi, maka teh hitam adalah pilihan
yang terbaik. Sekiranya anda ingin minum minuman panas pada waktu malam tanpa
memberi kesan pada waktu tidur, maka teh hijau (teh putih juga) adalah pilihan
yang terbaik.
Secara umumnya, teh memberi manfaat kepada kesihatan. Anda boleh sahaja
memilih di antara teh hijau atau teh hitam yang sesuai dengan selera. Yang
berbeza cuma warna dan rasa!
Informasi tambahan
Adakah anda tahu bahawa jenis kantung teh adalah berbeza untuk waktu
pembuatan. Setiap jenis teh berbeza suhu ideal dan waktu pencelupan kantung teh
untuk mendapatkan secangkir teh yang sempurna. Panjang benang pada kantung teh
menunjukkan jenis teh mana yang mempunyai waktu terlama atau tercepat untuk
pencelupan kantung teh.
0 коммент.:
Отправить комментарий