пятница, 28 октября 2011 г.

Doa Dan Rawatan



Allah s.w.t. menyuruh setiap orang Islam agar sentiasa berdoa kepadanya, dan Dia
akan memperkenankannya ;

“Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina” [Quran Ghafir : 60]



“Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati…[Quran Ibrahim: 34]

Orang yang berdoa, bererti ia ingatkan Allah. Allah mahukan setiap hambanya agar mengingatinya pada zikir lidah juga pada setiap amalan. Setiap perbuatan mesti dilakukan kerana Allah membolehkan perbuatan itu diperkira sebagai ibadah, termasuk amalan yang melibatkan rawatan, yang akan diberi ganjaran. Inilah yang membezakan, antara amalan yang dilakukan sebagai adat dan ibadah.  Apabila sesuatu perbuatan itu termasuk dalam kategori ibadah, segala tindak tanduk yang bertentangan dengan ajaran syariah perlu dihindarkan.

Pada hakikatnya, berdoa bukan amalan orang yang lemah, putus asas atau tidak mempunyai harapan setelah banyak ikhtiar dilakukan tetapi gagal. Doa ialah senjata orang yang beriman. Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda, menyatakan bahawa;

“Doa itu adalah otak ibadah”

Bererti bahawa setiap ibadah itu mesti bermula atau disertai doa. Untuk hidup sejahtera, manusia perlukan otak. Ibadah seseorang itu perlukan otak. Pada manusia,otak ibadah itu ialah doa. Pada manusia, otak adalah organ yang sangat kompleks, pusat segala aktiviti, menjalankan fungsi berfikir, punca reaksi seperti takut, bimbang, rasa sensitif dan sebagainya, mengawal pergerakan tubuhyang tidak boleh diganti apabila rosak. Gangguan pada otak menyebabkan berlakunya gangguan emosi, yang mungkin boleh membawa maut. Kita lihat di sini betapa pentingnya otak dalam kehidupan manusia, begitulah keperluan doa dalam ibadah, seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. yang tidak boleh dinafikan. Doa-doa yang dibaca, sama ada yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran, sumber hadis dan lain-lainnya hanya merupakan satu kaedah ataupun wasilah dalamusaha mendapatkan kesembuhan, yang dituturkan dengan lidah dan niat dalam hati.  Begitu juga dengan bahan-bahan yang digunakan, sama ada air zam-zam atau air biasa. 

Kesembuhan sebenar adalah daripada Allah s.w.t. Apabila Allah s.w.t. memperkenankan doa seseorang, maka Allah akan memberi kesembuhan, biar betapa besar atau kecilnya penyakit atau masalah yang dihadapi oleh seseorang, kerana Allah s.w.t. itu maha berkuasa dan tidak digagahi oleh sesiapa pun. Urusan Allah, apabila ia menghendaki sesuatu dengan berkata: jadilah, maka
jadilah

“Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi” [Quran Yasin : 82]

Jelas disini bahawa kata-kata atau sindiran adakah doa boleh menyembuhkan
penyakit atau tidak bukan persoalan utama, sama seperti persoalan yang
ditimbulkan oleh golongan tertentu sama ada amalan merawat menggunakan doa
dan air itu boleh dipanggil sebagai Perubatan Islam.



Kisah Sahabat Nabi merawat dengan Surah Al-Fatihah

Dalam sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a. ia menjelaskan adanya satu kumpulan sahabat Rasulullah s.a.w. yang keluar pergi musafir.  Di tengah perjalanan mereka telah singgah di sebuah perkampungan Badwi.  Mereka telah meminta makanan, tetapi penduduk kampung tersebut enggan memberinya.Dengan takdir Allah s.w.t., tidak lama setelah itu, ketua kampung berkenaan telah disengat binatang. Mereka telah berusaha untuk mengubatinya tetapi gagal. Sesetengah daripada mereka mencadangkan agar mereka meminta pertolongan daripada kumpulan orang Islam yang singgah di kampung tadi. Mungkin mereka boleh membuat sesuatu untuk merawat. Mendengarkan harapan yang begitu tinggi terhadap mereka, sebahagian daripada orang Islam tadi memberitahu bahawa mereka boleh menolongnya, tetapi oleh kerana penduduk tersebut pernah menolak permintaan mereka sebelum itu,mereka tidak akan menolongnya kecuali setelah berjanji memberi upah. 

Rombongan itu bersetuju atas permintaan tadi untuk memberi beberapa ekor kambing. Orang Islam yang berkenaan datang menemui ketua kaum yang sedang sakit, lalu dihembusnya dengan air ludah pada tempat yang sakit tadi sambil membaca: "AlhamdulilLah". 

Dalam satu riwayat lain disebutkan bahawa doa yang dibaca ialah Surah al-Fatihah lalu perawat tadi mengumpulkan air ludahnya dan dihembuskan, menyebabkan pesakit beransur sembuh.  Dalam satu riwayat lain, dijelaskan bahawa upah yang diberi ialah tiga puluh ekor kambing.

Keterangan hadis ini memperlihatkan bahawa Surah al-Fatihah itu amat besar fadilatnya, di antaranya ialah untuk merawat pesakit akibat terkena racun, seperti disengat kala jengking, lipan dan sebagainya.

Dijelaskan juga dalam keterangan hadis ini bahawa perawat, dengan izin Allah berjaya melakukan rawatan dengan membaca Ummu al-Qur'an (Surah al-Fatihah).  Kalau difikiri dari segi logiknya, terlalu sukar untuk menerima hakikat, bahawa pesakit boleh sembuh hanya dengan bacaan Surah al-Fatihah dan sedikit hembusan air ludah.

Setiap orang Islam boleh dikatakan tahu membaca Surah al-Fatihah, tetapi untuk meyakinkan bahawa bacaan yang dituturkan membolehkan seorang pesakit, seperti sakit terkena gigit kala jenking ataupun lipan boleh sembuh, sering dirasakan seupama sesuatu yang sukar diterima.  Malah kita sendiri mungkin tidak yakin bahawa usaha seperti ini boleh berjaya.  Tetapi, kesembuhan seperti ini bukan sesuatu yang mustahil, kerana Allah s.w.t. itu maha berkuasa, tidak digagahi
oleh sesuatu, apabila Ia menghendaki sesuatu.



“Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi.” [Quran Yasin : 82]

*Dipetik daripada laman web Darussyifa’



Mohamad Aizzat bin Mat Ghani
Biro Media IMAM VSC

0 коммент.:

Отправить комментарий